Sarawak kini negeri pendapatan tinggi, kata ahli ekonomi Bank Dunia

Sarawak kini negeri pendapatan tinggi, kata ahli ekonomi Bank Dunia

Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Labuan juga antara negeri yang melebihi ambang pendapatan tinggi, menurut data Apurva Sanghi.

PNK Sarawak melebihi ambang pendapatan tinggi USD13,205 (RM61,500), menurut ahli ekonomi Bank Dunia, Apurva Sanghi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sarawak kini sebuah negeri berpendapatan tinggi, menurut ahli ekonomi Bank Dunia, Apurva Sanghi.

Dalam ciapannya di Twitter, Apurva berkata, pendapatan negara kasar (PNK) Sarawak telah melebihi ambang pendapatan tinggi USD13,205 (RM61,500).

“Sementara Malaysia meneruskan usaha untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, terdapat satu kejutan yang menarik – Sarawak kini sebuah negeri berpendapatan tinggi.”

Beliau berkata, ini berdasarkan penukaran data Bank Dunia yang diperoleh daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Labuan juga telah melebihi ambang pendapatan tinggi, menurut data Apurva.

Blog rasmi Bank Dunia membahagikan ekonomi dunia kepada empat kumpulan pendapatan untuk setiap tahun – rendah, pertengahan bawah, pertengahan atas dan tinggi – berdasarkan PNK per kapita.

Dalam laporan penuh klasifikasi negara 2024 (1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2024), Malaysia disenaraikan sebagai “ekonomi berpendapatan sederhana atas”, bersama dengan Indonesia dan China.

PNK per kapita dilaporkan dalam dolar AS, dan nilai itu diperoleh dengan menukar mata wang tempatan kepada dolar AS, menggunakan kaedah atlas Bank Dunia.

Menurut Bank Dunia lagi, ambang itu dikemas kini setiap tahun pada awal tahun kewangannya (bermula 1 Julai) dan diselaraskan untuk inflasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.