
Beberapa pengguna LRT yang ditemui FMT berkata, pemakaian alat perlindungan itu menjadi seperti rutin buat mereka sejak diwajibkan kerajaan pada 2020 bagi mencegah penularan Covid-19.
Pekerja swasta Nabila Ahmad, 24, berkata walaupun jangkitan virus Covid-19 tidak berleluasa seperti dahulu, namun langkah pencegahan perlu diambil memandangkan keadaan sesak di LRT terutama pada waktu puncak.
“Saya juga sebenarnya telah terbiasa pakai pelitup muka, baik juga kerana dapat lindung diri.
“Kita pakai pelitup muka untuk keselamatan diri sendiri juga,” katanya.
Sementara itu, pelajar institut pengajian tinggi Kalli Arson, 20, berkata beliau memakai pelitup muka kerana tidak mahu lagi dijangkiti Covid-19.
“Agak yakin sedikit bila pakai pelitup muka di tempat ramai orang seperti dalam LRT,” katanya.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa pada 29 Jun mengumumkan pemakaian pelitup muka tidak lagi wajib dalam pengangkutan awam dan hospital mulai 5 Julai, sebagai sebahagian kelonggaran SOP Covid-19.
Tetapi, ia kekal wajib bagi pesakit Covid-19 dan petugas kesihatan berikutan prosedur kawalan jangkitan ketika berurusan dengan pesakit.
Individu berisiko tinggi seperti warga emas, individu berimuniti rendah, bergejala respiratori dan ibu mengandung amat digalakkan memakai pelitup muka di tempat yang sesak, mempunyai pengudaraan kurang baik serta semasa menaiki pengangkutan awam.