Mahkamah perintah bicara saman sivil penduduk Taman Sri Muda diteruskan

Mahkamah perintah bicara saman sivil penduduk Taman Sri Muda diteruskan

Hakim menolak permohonan MBSA dan KDEB Waste Management Sdn Bhd agar tindakan sivil terhadap mereka oleh penduduk Taman Sri Muda dibatalkan.

Sekumpulan 50 penduduk Taman Sri Muda menuntut ganti rugi RM3.8 juta daripada MBSA, KDEB dan lapan pihak lain pada 2022. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan KDEB Waste Management Sdn Bhd untuk membatalkan tuntutan kecuaian dan pelanggaran kewajipan statutori terhadap mereka berhubung banjir Taman Sri Muda yang berlaku pada 2021.

Sekumpulan 50 penduduk memfailkan tindakan sivil terhadap MBSA, KDEB dan lapan pihak lain pada 2022, menuntut ganti rugi RM3.8 juta.

Penduduk mendakwa, MBSA meluluskan terlalu banyak pembangunan di kawasan itu dan KDEB gagal menguruskan kutipan sisa domestik dan perkhidmatan pembersihan awamnya dengan baik.

Peguam V Vemal Arasan berkata, Hakim Zaki Abdul Wahab menolak permohonan itu dan mengarahkan tindakan sivil yang dikenakan terhadap mereka diteruskan.

Vemal berkata, mahkamah memutuskan bahawa terdapat isu yang perlu didengar pada perbicaraan penuh.

Zaki mengarahkan MBSA dan KDEB masing-masing membayar kos RM4,000, menurut Vemal.

Sementara itu, mahkamah akan mendengar permohonan berkaitan yang dibuat oleh kerajaan persekutuan; ketua pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma); menteri tugas-tugas khas; ketua pengarah Jabatan Meteorologi; menteri alam sekitar dan air; serta Jabatan Pengairan dan Saliran untuk membatalkan saman yang sama.

Kerajaan berhujah bahawa tuntutan mahkamah itu tidak mendedahkan sebab tindakan yang munasabah, dan bahawa banjir itu “kudrat Tuhan”.

Mahkamah akan mendengar permohonan kerajaan pada 9 Ogos.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, kumpulan penduduk itu berkata, Nadma tidak berkesan dalam menyelaraskan operasi menyelamat, walaupun menurut arahan Majlis Keselamatan Negara, Nadma akan menerajui operasi itu.

Mereka berkata, Jabatan Meteorologi gagal memberikan amaran tepat pada masanya mengenai banjir yang akan berlaku.

Mereka mendakwa hanya dimaklumkan dua hari selepas banjir, walaupun jabatan itu mengeluarkan amaran kepada penduduk di Pantai Timur.

Tambah mereka, Jabatan Pengairan dan Saliran serta pihak berkuasa tempatan gagal membangunkan dan menguruskan sistem banjir Sungai Klang.

Gurdial Singh Nijar mewakili kumpulan penduduk itu sebagai peguam utama, bersama Abraham Au, James Joshua Paulraj dan TR Kavitharini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.