Mahkamah batal denda RM86 juta MyCC ke atas Grab

Mahkamah batal denda RM86 juta MyCC ke atas Grab

Mahkamah Tinggi dapati keputusan MyCC untuk mencadangkan denda itu dicemari tatacara yang tidak sesuai dan melanggar keadilan asasi.

Suruhanjaya Persaingan pada 3 Okt 2019 mencadangkan denda RM86.8 juta ke atas Grab kerana amalan yang didakwa boleh mengherotkan persaingan. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Syarikat pengendali e-panggilan, Grab Holdings Inc berjaya membatalkan cadangan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk mendenda syarikat itu RM86.8 juta, atas dakwaan menyalahgunakan kedudukannya yang dominan.

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa keputusan MyCC untuk mencadangkan denda itu dicemari dengan tatacara yang tidak sesuai dan melanggar keadilan asasi.

Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh juga berkata mahkamah rayuan telah memutuskan bahawa keputusan-keputusan yang dicadangkan – seperti dalam kes Grab ini – boleh dicabar di mahkamah menerusi semakan kehakiman.

“Saya juga berpandangan bahawa Grab tidak perlu menghabiskan sepenuhnya proses inkuiri domestik (dengan memfailkan rayuan kepada Tribunal Rayuan Persaingan MyCC).

“Menangani keputusan yang ‘dicadangkan’ bukan bawah bidang kuasa tribunal itu,” kata Farid.

Mahkamah memerintahkan MyCC membayar kos RM20,000 kepada Grab.

MyCC pada 3 Okt 2019 mencadangkan Grab didenda RM86.8 juta kerana melanggar undang-undang anti-monopoli dengan mengenakan fasal-fasal penyekat ke atas pemandu-pemandunya, yang menurut MyCC boleh mengherotkan persaingan.

Menurut MyCC, fasal-fasal dalam kontrak itu menghalang pemandu-pemandunya mempromosikan perkhidmatan e-panggilan lain dalam kenderaan mereka.

MyCC berkata penggabungan dengan Uber menyaksikan Grab menjadi pemain yang dominan dalam industri e-panggilan tempatan.

Grab kemudian memulakan cabaran undang-undang untuk mencabar cadangan denda oleh MyCC itu.

Grab diwakili Yvonne Lim dan Shanthi Kandiah selaku peguam, manakala Kwan Will Sen dan Muayyad Khairulmaini mewakili MyCC.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.