
Presidennya, Karen Cheah mencadangkan tiga rang undang-undang (RUU) – RUU jenayah kebencian kaum dan agama, RUU keharmonian dan perdamaian negara, dan RUU suruhanjaya keharmonian dan perdamaian negara.
RUU ini, katanya, akan bertindak sebagai pengganti Akta Hasutan 1948 yang berkontroversi, dan membantu dalam “mencapai keseimbangan antara menegakkan kebebasan bersuara dengan mengekalkan keselamatan awam”.
Cheah berkata demikian susulan kenyataan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa usaha mempromosi negara berbilang kaum bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Mahathir berkata, Malaysia tidak pernah digambarkan sebagai sebuah negara berbilang kaum dalam Perlembagaan, yang “menekankan kemelayuan Malaysia”.
Cheah berkata, RUU itu akan menjadikan usaha mencetuskan kebencian kaum dan agama sebagai kesalahan, di samping mencegah diskriminasi.
RUU itu juga akan mengenakan kewajipan ke atas kerajaan dan semua rakyat untuk menggalakkan kesaksamaan, tambahnya.
Katanya lagi, bawah RUU itu, sebuah suruhanjaya yang dianggotai pelbagai kaum, agama dan latar belakang politik akan memainkan fungsi utama menjadi “titik penyelarasan” antara kerajaan, pertubuhan masyarakat sivil dan pelbagai pihak berkepentingan untuk melibatkan diri dalam perbincangan yang lebih mantap mengenai integrasi nasional.
“Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan kepercayaan. Berbanding ahli politik menggunakan ucapan berbaur kebencian dan melemparkan tuduhan untuk mendapatkan kelebihan politik, lebih banyak usaha harus disalurkan ke arah menggalakkan perbahasan dan dialog yang membina.
“Kita patut berbangga dengan keunikan kita sebagai masyarakat berbilang budaya. Kami menggesa kerajaan perpaduan untuk mempertimbangkan secara menyeluruh RUU yang dicadangkan ini bagi memastikan budaya penerimaan dipupuk dalam kalangan rakyat,” kata Cheah.