‘Faham hati mengenai Felda kerana saya bekas Ahli Parlimen kampung’, kata Shabery Cheek

‘Faham hati mengenai Felda kerana saya bekas Ahli Parlimen kampung’, kata Shabery Cheek

Bekas Ahli Parlimen Kemaman itu berkata kritikan akan menjadi cabaran untuk beliau 'perform' sebagai pengerusi Felda.

Shabery Cheek dilantik sebagai pengerusi baharu Felda berkuatkuasa pada 1 Julai lalu. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Pengerusi baharu Felda Shabery Cheek percaya pengalaman berurusan dengan warga Felda selama 14 tahun menjadi Ahli Parlimen akan membantunya mengemudi institusi itu ke tahap lebih baik.

Bekas wakil rakyat Kemaman itu mengulas kritikan NGO Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan yang kecewa kerajaan masih mengekalkan pelantikan “orang luar” untuk menjaga kepentingan warga Felda.

“Saya datang daripada Ahli Parlimen kampung…banyak Felda di kawasan saya. Pengalaman itu banyak ajar saya untuk lebih memahami hati dan perasaan mengenai Felda,” katanya kepada pemberita, ketika melawat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Saya menerima kritikan secara terbuka. Ini cabaran bagi saya untuk ‘perform’ walaupun saya bukan anak Felda tetapi saya akan beri yang terbaik.”

Shabery yang juga bekas menteri pertanian dan industri asas tani dilantik sebagai pengerusi Felda berkuat kuasa pada 1 Julai. Beliau pernah memegang beberapa portfolio dalam kerajaan antara 2008 hingga 2018 termasuk penerangan, belia dan sukan, dan komunikasi dan multimedia.

Dalam lawatan itu, Shabery membangkitkan capaian internet yang kurang memuaskan di penempatan Felda, walaupun dengan kemudahan 4G.

“Hampir semua kawasan Felda sudah dilengkapi dengan kemudahan 4G tetapi saya berkongsi dengan pihak SKMM rungutan yang diterima,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.