
RimbaWatch berkata pihaknya menerima laporan sebuah syarikat telah mula membersihkan hutan paya gambut berhampiran Kampung Orang Asli Air Hitam dan Tanjung Keruing di Pekan.
Menurut NGO itu, berdasarkan data satelit Global Forest Watch, kira-kira 310 hektar hutan telah ditebang, kurang 100 meter dari Kampung Orang Asli Air Hitam.
Jelasnya, EIA untuk pembangunan ladang kelapa sawit seluas 402.33 hektar di kawasan itu telah dikemukakan Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) dan diluluskan JAS pada 27 Mei 2021.
“RimbaWatch menuntut JAS menghentikan projek itu dan membatalkan serta merta kelulusan diperoleh PASFA.
“Kerajaan negeri juga perlu mewartakan tanah adat Kampung Orang Asli Air Hitam dan Tanjung Keruing sebagai rizab Orang Asli,” katanya dalam kenyataan.
NGO itu turut mempersoalkan bagaimana EIA itu boleh diluluskan kerana ia tidak dipamer secara terbuka seperti dikehendaki di bawah garis panduan JAS.
RimbaWatch juga mendakwa bahawa pembersihan tanah gambut untuk minyak sawit adalah bertentangan dengan Pelan Tindakan Kebangsaan Tanah Gambut dan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025.
Jelasnya juga, penduduk Orang Asli yang terjejas juga telah mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), polis dan pengusaha ladang terbabit.
“Dalam laporan mereka kepada Suhakam yang dilihat oleh RimbaWatch, masyarakat Kampung Orang Asli Air Hitam dan Tanjung Keruing mengadu bahawa projek itu menceroboh tanah adat mereka,” katanya.