Dakwa negara berbilang bangsa bertentangan Perlembagaan, Dr M ‘hina’ rakyat Sabah, Sarawak

Dakwa negara berbilang bangsa bertentangan Perlembagaan, Dr M ‘hina’ rakyat Sabah, Sarawak

Malaysia yang disertai Sabah dan Sarawak pada 1963 merupakan tanah bebas dan berdemokrasi, bukannya berdasarkan etnokrasi Melayu atau teokrasi Islamis, kata Wilfred Madius Tangau.

Wilfred Madius Tangau membantah kepelbagaian bangsa dan kaum di Malaysia dikecilkan kepada “Melayu Malaya” semata-mata.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau membidas bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, susulan kenyataan kontroversi berkait “Tanah Melayu” dan identiti berbilang bangsa Malaysia, menyifatkannya berbaur penghinaan kepada penduduk Malaysia Timur.

Dalam kenyataan, bekas presiden Upko itu berkata, serangan Mahathir terhadap kepelbagaian dan sekularisme mendedahkan “niat jahat imperialis dan penjajah Malaya” dan melihat Sabah dan Sarawak sebagai “hak milik penjajah orang Melayu Malaya”.

Beliau mengingatkan Mahathir, ketika pembentukan Malaysia pada 1963, ia merupakan kesatuan empat negara sekular dan pelbagai kaum: Malaya (Semenanjung), Singapura, Sabah, dan Sarawak.

“Dr Mahathir, dengar baik-baik kalau anda perlu diberi peringatan: Sabah dan Sarawak bukan hak milik penjajah dipindahkan daripada Great Britain kepada Tanah Melayu,” katanya.

“Kami tidak memilih menggantikan British dengan Malaysia sebagai tuan penjajah pada 1963. Andai itulah rancangan untuk menjadi lampiran kepada etnokrasi seperti mana diinginkan Dr Mahathir, Sabah dan Sarawak tidak akan menyertai (pembentukan Malaysia),” katanya.

Beliau berkata, jika mana-mana pihak mahu mengubah kontrak sosial pada 1963 dengan “diam-diam” menjajah Sabah dan Sarawak, justeru merekalah yang membawa Malaya “keluar” dari Malaysia.

“Malaysia yang disertai Sabah dan Sarawak pada 1963 merupakan tanah bebas dan berdemokrasi (bukannya) berdasarkan etnokrasi Melayu atau teokrasi Islamis.

“Dengan menghina rakyat Sabah dan Sarawak sebagai subjek imperialis dan penjajah Malaya, Dr Mahathir mengisytiharkan ‘perang’ terhadap idea pembentukan Malaysia,” katanya.

Katanya, Sabah dan Sarawak terdiri daripada pelbagai bangsa, antaranya Kadazan-Dusun-Murut, Bajau, Suluk, Iban, Bidayuh, Orang Hulu dan Melanau.

Beliau membantah kepelbagaian bangsa dan kaum di Malaysia dikecilkan kepada “Melayu Malaya” semata-mata.

Pada sidang media minggu lepas, Mahathir mendakwa usaha mempromosikan negara berbilang bangsa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang menekankan “kemelayuan Malaysia”.

Mahathir juga mendakwa ada percubaan orang “dari negara lain” untuk mengubah Malaysia daripada “Tanah Melayu” menjadi sebuah negara berbilang bangsa.

Mahathir, yang juga bekas pengerusi Bersatu dipetik berkata, “orang ini” tidak mengiktiraf orang Melayu sebagai “pengasas dan pembangun” Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.