
Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, berkata tindakan itu juga sudah dijangka apabila PAS sekali lagi memainkan naratif sumbang untuk menyalahkan DAP susulan dakwaan Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin terhadap parti itu berhubung isu 3R semalam.
“Seperti biasa, PAS terus memainkan naratif sumbang “Semua Salah DAP” mereka lebih-lebih lagi menjelang PRN akan datang.
“Taktik lapuk seperti ini sudah boleh dijangka sekali gus mencerminkan realiti bahawa pihak di sebelah sana sudah ketandusan idea,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Khairil menggesa Kementerian Komunikasi dan Digital bersikap adil dalam mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak termasuk DAP yang didakwa secara terang-terangan menggunakan isu 3R sebagai modal politik.
Khairil merujuk tindakan beberapa pemimpin DAP termasuk Nga Kor Ming dan Lim Guan Eng yang menggunakan isu sensitif dalam kenyataan mereka sebelum ini.
“Kenyataan Nga Kor Ming terhadap tindakan MPKB (Majlis Perbandaran Kota Bharu) dalam isu pemakaian seluar pendek sengaja dijadikan isu bagi menyebarkan Islamofobia, Tony Pua menggelar bukan sahaja Barisan Nasional tetapi parti nasionalis atau parti dipimpin orang Melayu sebagai korup.
“Kenyataan Lim Guan Eng kononnya undi PN di Pulau Pinang akan memadamkan Pulau Pinang yang jelas bertujuan untuk menakut-nakutkan dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan,” dakwanya.
Syerleena berkata, sebaliknya apa membimbangkan adalah kenyataan yang keluar daripada pemimpin PAS sendiri yang dilihat menyentuh sensitiviti masyarakat di negara ini.
“Salah satunya kenyataan Presiden PAS Hadi Awang yang mendakwa komuniti bukan Islam dan bukan Bumiputera adalah golongan paling banyak terbabit rasuah.
“Saya berharap isu-isu yang menyentuh sensitiviti masyarakat terutama membabitkan sentimen 3R tidak lagi dijadikan modal politik menjelang pilihan raya oleh mana-mana pihak sekali pun,” katanya.