
Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, Malaysian Green Lung Association dan Voice of the Children memohon semakan kehakiman untuk membatalkan pengecualian cecair dan gel nikotin daripada Akta Racun 1952, perintah yang diwartakan oleh menteri kesihatan pada 31 Mac .
Sebagai alternatif, mereka mahukan deklarasi bahawa pengecualian yang dipertikaikan tidak sah.
Permohonan yang difailkan peguam cara Kanesalingam & Co di Mahkamah Tinggi di sini Jumaat lepas, menamakan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa dan kerajaan sebagai responden.
Pemohon berkata, menteri itu tidak mempertimbangkan dengan secukupnya pandangan Lembaga Racun, dan gagal untuk mengadakan libat urus dengannya, walaupun lembaga itu mendapat undi sebulat suara membantah pengecualian itu.
Mereka juga berkata, menteri itu bertindak secara tidak sah, tidak rasional, dan dengan secara tidak wajar dari segi prosedur.
“Tindakan beliau (Zaliha) juga tidak seimbang kerana menteri, yang tugasnya melindungi kesihatan awam, sebenarnya telah gagal menjalankan tugas itu, sebaliknya mengutamakan kutipan hasil,” kata mereka.
Pemohon berkata, tindakan menteri itu telah menjejaskan kesihatan awam, khususnya kanak-kanak, golongan paling rentan.
Mereka berkata, perintah dipertikaikan itu, yang dibuat bawah Seksyen 6 Akta itu, adalah ultra vires Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan yang secara eksklusif merizabkan kuasa membuat undang-undang kepada Parlimen. Ia juga di luar skop kuasa yang diwakilkan oleh Parlimen kepada menteri, tambah mereka.
Pemohon mencabar rasional keputusan menteri itu memberikan pengecualian yang dipertikaikan sebagai ultra vires Akta Racun.
“Keupayaan untuk mengenakan duti kastam atau menjana hasil daripada bahan beracun bukanlah alasan yang dibenarkan atau rasional untuk menggugurkan bahan beracun daripada senarai racun,” tambah mereka.
Mereka berkata, pengecualian yang dipertikaikan itu membolehkan vape dan rokok elektronik dengan nikotin dijual secara bebas kepada kanak-kanak, bertentangan dengan objektif dasar kementerian itu sendiri.
Selanjutnya, mereka berkata, pengecualian yang dipertikaikan itu bertentangan dengan komitmen antarabangsa Malaysia, dan melanggar jangkaan rakyat bahawa menteri itu akan bertindak mengikut norma antarabangsa.
Malaysia menandatangani Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2003 dan menjadi pihak pada 16 Sept 2005, sejurus selepas konvensyen itu berkuat kuasa.
Pemohon berkata, Malaysia juga telah menjadi pihak kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) sejak 1995, yang menghendaki kepentingan terbaik kanak-kanak menjadi pertimbangan utama.