
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan berkata, Ryan Bates yang pernah menyertai pasukan elit Tentera Laut AS, Navy Seal, tidak dibenarkan keluar dari Malaysia sehingga siasatan selesai.
“(Kes) disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960. Suspek diberi jamin, tetapi tidak dibenarkan keluar negara sementara siasatan dilengkapkan dan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya,” katanya menurut Malaysiakini.
Hussein berkata, warga AS itu datang ke Malaysia bagi tujuan penggambaran dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia dan menggunakan kemudahan di kem tentera.
Tetapi katanya, selepas urusan penggambaran selesai dan mahu pulang ke AS, Bates ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 30 Jun lalu susulan penemuan tiga kelopak peluru kosong yang dibawanya tanpa kebenaran.
Sebelum ini, Malay Mail melaporkan isteri Bates, Dianna merayu bantuan Kedutaan AS di Malaysia kerana suaminya ditahan membawa peluru kosong selepas digunakan dalam penggambaran dokumentari di negara ini.
Menurut laporan itu, Bates dikatakan membuat penggambaran siri Netflix bertajuk “The World’s Toughest Forces” di Malaysia.
Dia turut dilaporkan memuat naik beberapa video mendakwa disoal siasat pihak berkuasa.