
Fahmi dalam sesi siaran langsung Isnin lalu meminta penonton menjaga kelakuan, dengan memberi amaran mereka “dipantau pihak berkuasa” dan mungkin didatangi polis.
Fahmi kemudian mendakwa kenyataan itu ditujukan kepada warganet yang membuat kenyataan berunsur provokasi berkaitan 3R – kaum, agama dan institusi diraja – semasa perbincangan itu.
Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam), M Ramachelvam berkata, Fahmi boleh membuat komennya dengan cara lebih sesuai, bukannya menggunakan perkataan yang boleh dianggap ugutan.
“Sebagai menteri komunikasi dan digital, beliau sepatutnya menggunakan kedudukannya untuk menjawab komen ditinggalkan penonton, bukannya mengatakan pihak berkuasa akan mencari mereka.
“Ancaman menteri terhadap kebebasan bersuara meninggalkan persepsi negatif terhadap kerajaan perpaduan (yang mempunyai kewajipan) menegakkan hak asasi Perlembagaan yang dijamin kepada rakyat,” katanya kepada FMT.
Ramachelvam berkata, isu itu “ironik” memandangkan menteri persekutuan seperti Fahmi pernah mengkritik pihak lain menyalahgunakan undang-undang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk menyekat kebebasan bersuara.
Sevan Doraisamy dari Suara Rakyat Malaysia (Suaram) bersetuju dengan Ramachelvam dan berkata, Fahmi harus lebih berhati-hati dengan kata-katanya untuk mengelak dianggap mengancam penentang atau mengehadkan kebebasan bersuara.
Katanya, perbincangan mengenai isu 3R dan dasar kerajaan tidak perlu dihadkan, melainkan ia mencetuskan keganasan atau “tindakan melanggar undang-undang”.
“Melalui perbualan inklusif dan membina (menyentuh topik sensitif) inilah dapat mencapai kemajuan masyarakat.
“Dengan menjaga dan menggalakkan prinsip kebebasan bersuara, memupuk dialog terbuka dan memudahkan pertukaran idea, mereka boleh menunjukkan komitmen mereka terhadap nilai demokrasi dan aspirasi rakyat.”