
Presiden STAR, Jeffrey Kitingan yang menyuarakan hasrat itu, berkata beliau yakin cadangan penggabungan dua parti itu boleh menjadi kenyataan sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi mencatat kemenangan besar.
Ketika ini, STAR mempunyai enam Adun dan seorang Ahli Parlimen, manakala PBS diwakili tujuh Adun dan juga seorang Ahli Parlimen.
Kedua-dua parti adalah komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dibentuk ketika PRN September 2020.
“Memang hasrat kita sudah ada, lama sudah sejak PRN lalu lagi dan sudah ada perbincangan dibuat di antara pemimpin kedua-dua parti tetapi tidak dapat direalisasikan ketika itu.
“Bagaimanapun, sekarang idea itu datang lagi. Bagi saya ia adalah langkah yang terbaik untuk kedua-dua parti dan saya positif terhadapnya. Harapan saya ia akan menjadi kenyataan,” katanya memetik Berita Harian.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Nasional dan Ulang Tahun Ketujuh STAR Sabah, di Penampang.
Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau dan Adun Tambunan, bagaimanapun mengakui kedua-dua parti mungkin berdepan beberapa cabaran dalam merealisasikan penggabungan yang dicadangkan itu.
“Cabaran kita antaranya ialah untuk menentukan nama, simbol, dan siapa presiden gabungan itu tetapi kita percaya akan dapat mencari penyelesaian terhadap perkara berkenaan,” katanya.