Hutang punca lelaki tular cuba ‘ditarik’ masuk Vellfire

Hutang punca lelaki tular cuba ‘ditarik’ masuk Vellfire

Suspek dikatakan cuba menarik mangsa masuk ke dalam kenderaan namun dihalang kakak lelaki itu sambil dibantu penduduk setempat.

Tangkap layar video tular kejadian melibatkan seorang lelaki dikasari di hadapan sebuah kedai di Jalan Sungai Udang, Nibong Tebal. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis menahan tiga suspek yang dipercayai mengasari seorang lelaki di hadapan sebuah kedai di Jalan Sungai Udang, Nibong Tebal, dalam kejadian tular di media sosial.

Ketua Polis Seberang Perai Selatan, Ng Ah Thiam, berkata penahanan itu dilakukan susulan laporan polis yang diterima berhubung kejadian Isnin lalu itu.

Katanya, ketika kejadian mangsa didatangi empat suspek menaiki kereta pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire berwarna hitam.

“Suspek cuba menarik mangsa ke dalam kenderaan, namun dihalang kakak lelaki itu yang dibantu penduduk setempat.

“Siasatan awal dilakukan mendapati kejadian itu berpunca daripada mangsa yang berhutang dengan salah seorang suspek.

“Susulan kejadian itu, polis menahan tiga lelaki warga tempatan dan merampas kenderaan yang digunakan semasa kejadian,” katanya melalui kenyataan, lapor Berita Harian.

Pada masa sama, katanya, polis meminta kerjasama orang ramai tidak menularkan rakaman video insiden terbabit termasuk memberikan komen yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.