Dakwa dipecat secara tak sah, bekas CEO Finas saman menteri

Dakwa dipecat secara tak sah, bekas CEO Finas saman menteri

Nasir Ibrahim menuntut surat penamatan perkhidmatannya terbatal dan tidak sah mengikut undang-undang.

Nasir Ibrahim (kiri) menyaman Menteri Komunikasi dan Multimedia Fahmi Fadzil, Finas dan lembaga pengarahnya kerana menamatkan perkhidmatannya ‘dengan niat jahat’.
PETALING JAYA:
Bekas ketua pegawai eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Nasir Ibrahim memfailkan saman di Mahkamah Tinggi kerana mendakwa diberhentikan secara tidak sah, lima bulan sebelum kontraknya tamat.

Nasir, 62, juga menuntut surat penamatan bertarikh 31 Mei ditandatangani Pengerusi Finas Kamil Ahmad Othman, tidak sah mengikut undang-undang dan terbatal.

Dalam writ dan pernyataan tuntutan difailkan oleh peguam cara Srimurugan & Co pada Rabu, plaintif menuntut kira-kira RM135,000 sebagai ganti rugi khas serta faedah 5%.

Nasir berkata pemberhentian awal itu menyebabkan beliau malu dan mengalami tekanan mental.

Beliau menamakan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Finas dan pengarahnya – Mastura Ahmad Mustafa, Idwan Ariff Abdul Rahman dan Noor Azam Shairi – sebagai defendan dalam saman itu.

Dalam satu kenyataan 1 Jun, Finas mengesahkan bahawa Nasir telah disingkirkan sebagai ketua pegawai eksekutif, berikutan dakwaannya bahawa beliau telah dipecat.

Nasir, yang dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif Finas dengan kontrak dua tahun pada 1 Nov 2021, turut menuntut ganti rugi am dan bayaran lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Dalam kenyataan tuntutan dilihat FMT, beliau berkata pelantikan itu adalah bersama gaji bulanan RM20,000 dan elaun RM6,800.

Beliau berkata pelantikannya dikawal oleh Akta Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 dan menteri boleh menamatkan perkhidmatannya dengan memberinya notis 30 hari atau membayarnya sebulan gaji sebagai ganti tempoh notis itu.

Nasir mendakwa beliau diminta berhenti pada Jun selepas dibayar gaji sebulan.

Bagaimanapun, beliau berkata penamatan itu dilakukan dengan niat jahat dan tidak diberi alasan yang kukuh.

Menurut Nasir, hari terakhir perkhidmatannya ialah pada 31 Mei lalu berdasarkan surat yang ditandatangani menteri pada 5 Mei lalu.

Beliau berhujah bahawa Finas tidak mempunyai lembaga pengarah yang sah terdiri daripada sekurang-kurangnya sembilan orang pada masa itu. Memandangkan hanya empat orang, lembaga itu tidak diberi kuasa untuk mengeluarkan surat penamatan perkhidmatan, katanya.

Jelasnya, Fahmi pada 1 Jun lalu memberitahu media bahawa keputusan memecatnya dibuat oleh lembaga pengarah Finas tanpa sebarang campur tangan daripadanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.