
Pengendalinya, Prolintas berkata, kadar kutipan di Plaza Tol Alam Damai itu sama seperti dengan kadar di Plaza Tol Bukit Teratai dan Plaza Tol Ampang.
Katanya, kadar tol bermula pada RM2.30 untuk kelas 1 (kereta), RM4.60 untuk kelas 2 (lori), RM6.90 untuk kelas 3 (treler), RM 1.20 untuk kelas 4 (teksi) dan RM2.30 untuk kelas 5 (bas).
“Kutipan tol akan dilaksanakan secara elektronik sepenuhnya menggunakan kad Touch ‘N Go, SmartTAG dan RFID. Pengguna disaran memastikan baki kad Touch ‘N Go dan e-wallet mencukupi sebelum memasuki SUKE.
“Orang ramai boleh menghubungi hotline Suke di talian 1-800-22-8888,” katanya dalam kenyataan.
Suke fasa 2 membabitkan jajaran dari Sri Petaling dan Bukit Jalil di Lebuh Raya Shah Alam dengan Persimpangan Cheras-Kajang yang dibuka 16 Jun lalu.
Lebuh raya Suke fasa 1 dan 2 membabitkan laluan sepanjang 24.4km, dengan dua laluan tiga lorong dari Sri Petaling ke Ulu Kelang.
Ia mempunyai 14 persimpangan dan menjangkaui lebih 60 kawasan perumahan, serta berhubung dengan lebuh raya dan jalan utama di Kuala Lumpur.
Empat belas persimbangan itu menghubungkan Suke dengan Sri Petaling, Sungai Besi, Alam Damai, Cheras-Kajang, Cheras-Hartamas, Bukit Teratai, Tasik Tambahan, Permai, Kosas, Pekan Ampang, Ampang Point, Hulu Kelang, Taman Hillview, dan Bukit Antarabangsa.
Ia juga berhubung dengan lapan lebuh raya iaitu MRR2, Kesas, Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Cheras-Kajang (CKE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), serta Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) yang sedang dalam pembinaan.
Ia dijangka membantu menampung sebahagian trafik yang melalui MRR2 dan mengurangkan masa perjalanan dari Sri Petaling ke Ulu Kelang daripada 75 minit kepada 25 minit.