
Beliau berkata inisiatif ini melibatkan tanggungan kewangan kerajaan berjumlah RM21.03 juta bagi tujuan pampasan kepada syarikat konsesi tol.
Diskaun tersebut akan berkuat kuasa bermula 12.01 tengah malam pada 18 Mac dan akan berakhir pada 11.59 malam pada 19 Mac.
Ia melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua lebuh raya, kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia Singapura (LINKEDUA).
Dalam kenyataan, perdana menteri juga mengumumkan Jabatan Insolvensi melaksanakan pelepasan kebankrapan secara ‘Fast Track’ melibatkan kira-kira 4,000 individu, khususnya ibu dan bapa tunggal sempena Aidilfitri.
Anwar berkata ini antara beberapa langkah bagi membantu rakyat di musim perayaan termasuk pemberian cuti tambahan Aidilfitri, bayaran awal Sumbangan Tunai Rahmah, serta bantuan khas kewangan kepada penjawat awam, pesara dan veteran tentera.
“Semua langkah ini adalah manifestasi nilai ihsan dan kemanusiaan yang menjadi teras kerajaan Madani dalam memastikan rakyat terus menikmati manfaat daripada kemakmuran yang kita usahakan bersama.
“Pada masa sama, saya ingin mengulangi seruan agar rakyat terus berbelanja secara berhemah sepanjang meraikan Syawal,” katanya.