
Felda dalam satu kenyataan berkata, organisasi itu optimis bahawa pelantikan itu akan dapat meneruskan kesinambungan usaha transformasi yang telah berjalan selama ini demi kemaslahatan warga peneroka serta generasi baharu Felda keseluruhannya.
Shabery pernah memegang beberapa portfolio dalam kerajaan antara 2008 hingga 2018 termasuk menteri penerangan, menteri belia dan sukan dan menteri komunikasi dan multimedia.
Pada minggu lalu, Shabery mengumumkan bahawa beliau tidak akan bertanding dalam PRN di enam negeri.
Bekas Ahli Parlimen Kemaman dari Umno itu menggantikan bekas menteri besar Terengganu Idris Jusoh, yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi Felda pada minggu lalu.
Idris berkata beliau menerima keputusan Pejabat Perdana Menteri yang mahu beliau melepaskan jawatan itu, setahun lebih awal daripada kontraknya.
Bekas menteri pengajian tinggi dari 2015 hingga 2018 itu dilantik sebagai pengerusi Felda pada Mei 2020. Beliau menggantikan Bakke Salleh.
Sementara itu, Felda turut menyatakan setinggi-tinggi penghargaan kepada Idris yang menamatkan perkhidmatan sebagai pengerusi Felda pada 30 Jun ini.
Katanya, sepanjang tiga tahun perkhidmatan, beliau mengangkat Felda kembali gemilang dengan pelbagai kejayaan yang dikecapi oleh agensi itu serta warga peneroka.
“Antara kejayaan yang paling besar ialah peningkatan produktiviti ladang peneroka yang meningkat lebih dua tan perhektar setahun daripada 17.29 tan perhektar pada tahun 2021 kepada 19.43 tan perhektar pada tahun 2022.
“Peningkatan hasil ini secara langsung turut meningkatkan pendapatan warga peneroka,” kata kenyataan itu.