
Menurutnya, fokus kerajaan ketika ini membangunkan kerangka dasar gaji progresif bagi memastikan pertumbuhan gaji yang lebih sekata dan inklusif.
“Ia sekaligus mendorong kepada gaji dan pendapatan yang lebih baik kepada semua pekerja terutamanya golongan muda,” katanya pada sidang media indeks harga pengguna (CPI) di Kementerian Ekonomi.
Menurutnya, usaha yang dilakukan itu tidak pernah disentuh secara menyeluruh oleh pentadbiran sebelum ini.
Rafizi berkata kertas dasar mengenai dasar gaji progresif akan dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Ogos depan.
Dalam pada itu, Rafizi berharap kadar inflasi negara akan terus kekal atau menurun bagi membolehkan harga barang pada Ogos dan September pada 2023 sama dengan harga barang bulan yang sama pada 2022.
Menurutnya, kadar inflasi 2.8% ketika ini jauh lebih baik berbanding ketika kerajaan perpaduan mengambil alih pemerintahan negara pada hujung tahun lepas.
Tegas beliau, kadar inflasi pada waktu itu naik mendadak, daripada 2% sehingga lebih 4%.
“Sasaran mana-mana kerajaan yang menguruskan ekonomi adalah memastikan kestabilan harga. Bila harga itu, inflasi dah berada pada lingkungan 2% ke 2.5%, maksudnya dari setahun ke setahun harga itu (barang) naik sedikit sahaja dan hampir sama dengan harga pada tahun lepas.
“Kalau Mei 2.8%, saya berharap angka itu makin kekal atau makin turun pada Ogos dan September. Bila dah sampai ke angka sekitar 2.5%, maksudnya, harga pada Ogos dan September tahun ini sama dengan tahun lepas. Itu sebenarnya banyak membantu rakyat dari segi kos sara hidup,” katanya.
Sementara itu, Rafizi memaklumkan Kementerian Ekonomi akan mengumumkan projek pertanian dan pemakanan melibatkan 1,000 ekar tanah pertama di bawah Inisiatif Usahawan Tani (Intan) pada bulan depan.
Menurutnya, Intan sebahagian daripada Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang akan dilaksanakan di seluruh negara dan akan memberi manfaat kepada kira-kira 4,000 penerima.
Usaha yang melibatkan sektor awam, swasta, dan orang ramai dari kalangan B40 dan miskin tegar ini bagi memastikan bekalan makanan yang mampan di masa akan datang, katanya.