
Statistik oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam laporannya, Survei Pelancongan Domestik (DTS) menunjukkan Selangor menjadi negeri tumpuan pelawat paling tinggi, diikuti Kuala Lumpur (16.9 juta), Sarawak (15.5 juta), Perak (14.6 juta), dan Pahang (13.2 juta).
“Berlaku peningkatan bagi pelawat domestik di seluruh Malaysia pada 2022, iaitu sebanyak 160.1% dan ia mencatatkan 171.6 juta pelawat berbanding 66.0 juta pelawat pada tahun sebelumnya.
“Tujuan utama pelancongan domestik merangkumi lawatan saudara-mara dan rakan (33.7%), membeli-belah (29.9%), percutian atau mengisi masa lapang (16.4%), perjalanan insentif (8.9%), dan rawatan perubatan atau penjagaan diri (5.0%),” katanya.
Menurut DOSM, kegiatan membeli-belah mencatatkan sumbangan tertinggi jumlah perbelanjaan di Selangor, iaitu 38.9% daripada RM64.1 bilion bagi komponen perbelanjaan pelawat domestik.
Dalam pada itu, sebanyak 50.3% kenaikan dicatatkan bagi kegiatan membeli-belah berbanding 2021, diikuti oleh makanan dan minuman (15.1%) dan penggunaan bahan api kenderaan (11.1%).
Menurut data DOSM, pendapatan isi rumah antara RM5,001 hingga RM10,000 mencatatkan sumbangan tertinggi bagi klasifikasi pelawat domestik mengikut pendapatan isi rumah, iaitu sebanyak 31.2%.
Laporan ini diterbitkan pada Jun 2023 dan boleh dimuat turun melalui portal eStatistik di portal DOSM.