
Pengerusi PH Johor itu berkata, gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) mengukuhkan penerimaan rakyat menerusi pelbagai program dianjurkan kerajaan perpaduan.
“Saya rasa tidak (Muda pecahkan undi), kerana PH yang bersama dengan BN dalam kerajaan perpaduan selama tujuh bulan sudah banyak melaksanakan program untuk rakyat termasuk inisiatif Rahmah,” katanya menurut Sinar Harian.
Salahuddin yang juga timbalan presiden Amanah, bagaimanapun menghormati pendirian Muda bertanding solo pada PRN.
“Kita hormati sikap Muda untuk bergerak solo. Namun, sebagai pemain politik sudah hampir 40 tahun, saya sendiri berpandangan kita hanya akan berjaya dengan adanya kerjasama yang kuat,” katanya.
Semalam, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan parti itu akan bertanding solo pada PRN.
Pada PRU15, Muda melakukan pakatan pilihan raya bersama PH dan ketika ini masih bersama dalam blok kerajaan selepas pembentukan kerajaan perpaduan.
Syed Saddiq berkata, walaupun Muda bertanding solo, namun parti itu perlu mengukur kekuatan sendiri sebelum membariskan calonnya.
Katanya, Muda harus realistik dan tidak mampu bertanding di setiap kerusi susulan kekurangan kewangan dan jentera.
Ahli Parlimen Muar itu berkata, jika kalah sekalipun ia dianggap demi “pelaburan” jangka panjang.
Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan akan mengadakan PRN.