
Dalam keputusan penting diumumkan pada September lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan kecederaan dialami oleh juruteknik N Sathiaseelan selepas kemalangan pada Ahad ketika pulang dari kampung halamannya adalah kecederaan pekerjaan walaupun ia berlaku pada hari cuti beliau.
Keputusan sebulat suara hari ini dibuat panel hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim, yang bersidang bersama Zabariah Yusof dan Harmindar Singh Dhaliwal.
Peguam Sathiaseelan, T Manoharan, berkata panel hakim bersetuju dengan hujahnya bahawa pemohon gagal memenuhi syarat rayuan seperti ditetapkan dalam Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
“Sesuatu kes mestilah berasal dari Mahkamah Tinggi untuk melayakkan rayuan akhir didengar di Mahkamah Persekutuan. Namun, kes ini berasal dari Lembaga Perkeso, yang bermakna Mahkamah Rayuan adalah mahkamah paling tinggi.
“Keputusan ini adalah muktamad sekarang. Ini bermakna Perkeso kini perlu menerima tuntutan daripada ahli yang mengalami kemalangan ketika dalam perjalanan dari kampung halaman mereka kembali ke bandar atau bandar-bandar di mana mereka bekerja,” katanya kepada FMT.
Sathiaseelan, yang bekerja sebagai juruteknik kanan di Infineon Technologies Sdn Bhd di Kulim, Kedah, mengalami kemalangan ketika pulang ke tempat kerjanya pada 16 Okt 2016, selepas menghabiskan hujung minggu di rumahnya di Ipoh.
Kemalangan itu menyebabkan Sathiaseelan mengalami kecederaan dan hilang upaya, tetapi tuntutan kehilangan upaya sementara beliau ditolak oleh Perkeso atas alasan bahawa kecederaan dialami tidak memenuhi syarat sebagai kecederaan pekerjaan bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja (ESS) 1969.
Dalam keputusannya, Lembaga Perkeso menyatakan tuntutan tersebut tidak sah kerana beliau sedang dalam perjalanan pada hari cutinya mengikut Seksyen 24(1)(a) Akta ESS.
Rayuan awal Sathiaseelan kepada Mahkamah Tinggi di Ipoh juga ditolak.