
Dalam satu sidang media, Syed Saddiq berkata dakwaan itu adalah tidak benar dan Muda mahu “menjuarai politik tulen”.
“Inilah masalah dengan politik lama. Apabila orang muda bersuara, mereka berkata kami menjawab kepada ahli politik lama yang membawa politik lama itu sendiri.
“Realitinya Muda mengangkat kepelbagaian. Kami mahu melihat disentralisasi kuasa dan Malaysia yang pelbagai bangsa dan sederhana yang sebenar,” katanya.
Terdahulu, ramai warganet mengkritik keputusan itu dengan mendakwa Mahathir mempengaruhi Muda untuk bertanding bagi menjejaskan peluang Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam PRN nanti.
“Dihasilkan oleh Atok (merujuk kepada Mahathir),” kata seorang pengguna di laman Twitter Muda.
Seorang pengguna Twitter juga bertanya: “Adakah ditaja oleh ‘Atok’?
Syed Saddiq adalah ketua pemuda Bersatu dan beliau serta Mahathir antara pengasas bersama parti itu pada 2016.
Selepas memenangi kerusi Parlimen Muar pada PRU14 pada 2018 dan PH membentuk kerajaan baharu, Syed Saddiq dilantik sebagai menteri belia dan sukan oleh Mahathir yang menjadi perdana menteri buat kali kedua.
Bagaimanapun, Syed Saddiq dipecat daripada Bersatu susulan Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan PH pada Mac 2020. Beliau kemudiannya menubuhkan Muda.
Sementara itu, Syed Saddiq juga menafikan dakwaan bahawa Muda akan bekerjasama dengan ahli Umno yang dipecat dalam PRN nanti.
“Saya hanya baca dakwaan ini dalam berita hari ini. Saya betul-betul nak tahu daripada mana maklumat ini datang,” katanya.
Terdahulu, satu sumber PH memberitahu FMT bahawa Muda akan bekerjasama dengan anggota Umno yang dipecat atau yang digantung keahlian.
Sumber berkata, niat Muda adalah untuk memecahkan undi terutama di Selangor di mana parti itu mempunyai ramai penyokong berbanding di lima negeri lain yang terbabit dalam PRN nanti.