Masuk hospital akibat masalah jantung, rayuan Isa ditangguh lagi

Masuk hospital akibat masalah jantung, rayuan Isa ditangguh lagi

Peguam Isa Samad berkata, isterinya selaku penjamin juga tidak dapat hadir prosiding hari ini kerana tidak boleh berjalan selepas mendapat suntikan di lutut semalam.

Isa Samad dimasukkan ke hospital swasta di Seremban malam tadi akibat masalah jantung.
PUTRAJAYA:
Pendengaran rayuan Isa Samad terhadap sabitan dan hukuman penjara enam tahun serta denda bagi kesalahan rasuah berkaitan pembelian sebuah hotel di Sarawak, ditangguhkan sekali lagi selepas bekas pengerusi Felda itu dimasukkan ke hospital swasta di Seremban kerana masalah jantung.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan Hadhariah Syed Ismail, Ahmad Zaidi Ibrahim dan Azmi Ariffin membenarkan penangguhan itu selepas peguam Salehuddin Saidin, yang mewakili Isa memaklumkan anak guamnya dimasukkan ke hospital malam tadi dan laporan perubatan diterima daripada pihak hospital pagi ini.

“Isteri kepada Isa selaku penjamin juga tidak dapat hadir prosiding hari ini kerana semalam beliau mendapatkan suntikan di lututnya yang sakit dan beliau tidak boleh berjalan hari ini akibat suntikan itu.

“Kami baru dimaklumkan mengenai perkara itu dan pihak keluarga memohon maaf atas kesulitan tersebut,” kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz tidak membantah penangguhan rayuan berkenaan.

Hakim Hadhariah, yang menetapkan 16 Okt ini untuk pendengaran rayuan berkata, pihak mahkamah berharap Isa sihat pada tarikh pendengaran baharu itu.

“Jika ada masalah sakit, tidak ada sesiapa boleh buat apa-apa,” kata hakim itu.

Sebelum ini, rayuan ditetapkan pada 7 Mac lepas yang kemudian dijadualkan semula hari ini (26 Jun) berikutan pihak pembelaan memerlukan masa untuk membalas hujahan pendakwaan.

Pada 3 Feb 2021, Mahkamah Tinggi mensabitkan Isa, 73, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching oleh Felda.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

Hakim Nazlan Ghazali (kini hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan, menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun, jika gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun, Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan semua hukuman itu berjalan serentak.

Mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta, serta tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 haribulan hingga rayuan selesai.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu memfailkan notis rayuan terhadap sabitan salah serta hukuman penjara dan denda terhadapnya pada 4 Feb 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.