
Sheila Sharon Steven Kumar atau lebih dikenali Inspektor Sheila di media sosial, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas ketiga-tiga tuduhan itu.
“Saya tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan. Saya faham pertuduhan,” katanya selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Chai Guan Hock, menurut Berita Harian.
Sheila didakwa mengugut seorang wanita dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada mangsa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga didakwa menghina kesopanan seorang lelaki dengan berkata: “You tengok badan you, gemuk, botak dan badak sumbu” mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Di hadapan Majistret Norhafizah Rajuni pula, Sheila mengaku tidak bersalah menyebut pangkat lans koperal dengan cara tidak wajar kepada Abdul Arif Farhan Abdul Razak dengan maksud mengaibkan kehormatannya.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai makan di Jalan SG 1/1, Taman Sri Gombak, masing-masing pada 12 tengah hari dan 1 tengah hari 15 Jun lalu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal menawarkan jaminan RM8,000 kepada tertuduh, manakala Anis Farhah Ahmad Hilmi pula menawarkan jaminan RM3,000.
Chai kemudian membenarkan Sheila dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin manakala Nor Hafizah mengenakan jaminan RM2,000.
Sementara itu, peguam bela M Manoharan dalam rayuan pembelaan bagi diringankan ikat jamin memohon anak guamnya diberikan ikat jamin rendah atau dilepaskan dengan bon tanpa jaminan.
Manoharan berkata, anak guamnya yang mempunyai ijazah dalam bidang bahasa dan linguistik daripada Universiti Malaya, sudah berkhidmat dalam polis sejak 2016.
Peguam itu berkata, bapa tertuduh juga sudah berkhidmat selama 39 tahun dalam polis dengan pangkat terakhir sebagai asisten superintendan dan adik tertuduh juga berkhidmat dalam pasukan keselamatan itu.