
Pengerusinya Aminuddin Zulkifli berkata pihaknya memudahkan orang ramai mendapatkan barangan terbabit menerusi jualan khas Aidiladha Madani yang dilancarkan sejak semalam sehingga Rabu depan.
“Selain barangan segar seperti daging, ayam dan sayur-sayuran, pengguna juga berpeluang mendapatkan bekalan juadah Aidiladha seperti ketupat, rendang, lemang dan kuih-muih di Program Jualan Khas Aidiladha Madani ini,” katanya menurut Bernama selepas melancarkan program terbabit di Shah Alam.
Aminuddin berkata, jualan khas itu melibatkan lebih 20,000 usahawan di 203 outlet pemasaran FAMA seluruh negara yang merangkumi Pasar Tani, Pasar Tani Kekal, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Medan Niaga Satok (MNS).
Jelanysa, pihaknya menyasarkan nilai jualan sebanyak RM11 juta untuk program terbabit.
“FAMA menyasarkan nilai jualan bagi komoditi ayam sahaja sebanyak RM440,000 bersamaan 30,000 ekor dan komoditi daging bernilai RM220,000 bersamaan 6.2 tan untuk jualan kali ini,” katanya.