Suami isteri maut dalam kemalangan babit kereta dan lori simen

Suami isteri maut dalam kemalangan babit kereta dan lori simen

Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian, manakala tiga anak mereka cedera parah dalam kemalangan di Lebuhraya Timur Barat tengah hari tadi.

Kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori treler dengan muatan simen di Lebuhraya Timur Barat dekat Gerik tengah hari tadi mengorbankan sepasang suami isteri. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Sepasang suami isteri maut, manakala tiga anak mereka cedera, dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori treler dengan muatan simen di Lebuhraya Timur Barat dekat Gerik.

Mohamad Nasir Samsudin, 44, dan Rohaya Harun, 46, maut di tempat kejadian manakala Mohamad Amir Zaqwan, 14; Nur Auni Batrisya, 12; dan Mohamad Zarith, 7, cedera parah.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 1.10 tengah hari tadi.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik kemudian dikerahkan ke lokasi kejadian, iaitu KM25, Lebuhraya Timur Barat sebelum hentian rehat dan rawat (R&R) Titiwangsa.

“Terdapat enam orang mangsa yang terlibat dan didapati dua orang mangsa tidak tersepit. Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian oleh pihak KKM (Kementerian Kesihatan).

“Anggota (bomba) bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan pengusung dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya, lapor Bernama.

Keluarga itu menaiki Perodua MyVi dari arah Gerik ke Jeli, Kelantan, manakala lori treler terbabit dari arah Jeli ke Gerik.

Pemandu treler, Ahmad Azhar Jaafar, 50, tidak mengalami kecederaan, menurut Sayani.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.