Fitnah, Anwar nafi tandatangani perjanjian babit blok Ambalat

Fitnah, Anwar nafi tandatangani perjanjian babit blok Ambalat

Perdana menteri menyifatkan pihak mendakwa Malaysia menandatangani perjanjian maritim dengan Indonesia membabitkan blok perairan itu sebagai 'bingai'.

Anwar Ibrahim berkata isu berhubung blok Ambalat belum diputuskan.
PETALING JAYA:
Malaysia tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian maritim dengan Indonesia membabitkan blok Ambalat, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau menyifatkan dakwaan perjanjian sempadan maritim Malaysia-Indonesia ditandatanganinya bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo pada 8 Jun lalu membabitkan blok perairan itu sebagai fitnah dan tidak benar.

“Ada yang belum selesai (dimeterai), termasuk kawasan disebut Ambalat itu, tapi mereka ‘bingai’. Ambalat itu belum selesai (belum diputuskan). Kawasan di Sabah, Pulau Sebatik pun belum selesai.

“Saya katakan dengan Jokowi, kita tandatangan (perjanjian maritim) yang sudah selesai saja,” katanya menurut Berita Harian selepas pelancaran Sentuhan Kasih Desa di Dataran Nilai.

Bekas menteri luar, Saifuddin Abdullah dilaporkan menggesa perdana menteri dan menteri luar (Zambry Abd Kadir) menjelaskan isu blok Ambalat selepas memeterai perjanjian sempadan maritim Malaysia-Indonesia 8 Jun lalu.

Katanya, rakyat berhak mendapat penjelasan terperinci berhubung isu Ambalat bagi mengelakkan spekulasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.