
Ketua Polis Kuala Lumpur Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas penduduk setempat melaporkan mengenai kejadian tersebut petang semalam.
Susulan laporan, polis kemudian menahan ibu dan bapa tiri mangsa, masing-masing berusia 35 dan 37 tahun, pada kira-kira 8 malam.
“Pemeriksaan pada badan kanak-kanak itu menemukan kesan lebam di kaki dan pipi serta kesan rotan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Taman Angkat Amanita di Taman Bukit Cheras, lapor Bernama.
Beliau berkata, polis percaya kanak-kanak itu, seorang anak tunggal, didera dalam tempoh satu atau dua minggu kebelakangan ini, dengan suspek lelaki mendakwa mangsa nakal.
Tambahnya, mangsa kini ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur.
Menurut Mohd Shuhaily, saringan air kencing menunjukkan lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine, manakala wanita itu didapati negatif dadah.
Pasangan itu ditahan reman selama lima hari bermula hari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak kanak 2001.