Berjuta wang tunai di pejabat, rumah dan kereta, kata saksi

Berjuta wang tunai di pejabat, rumah dan kereta, kata saksi

Kira-kira RM9 juta dan RM4 juta wang tunai ditemui di sebuah Mazda serta Mercedes Benz, kata ketua pasukan serbuan.

Ag Mohd Tahir Ag Mohd Talib sedang dibicarakan bersama isterinya dan seorang bekas timbalan pengarah Jabatan Air Negeri Sabah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu diberitahu berjuta wang tunai ditemui di pejabat, rumah dan dua kereta bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Ag Mohd Tahir Ag Mohd Talib.

Borneo Post memetik Hishammudin Esa, ketua pasukan menyerbu rumah Tahir, berkata wang tunai sebanyak RM23 juta ditemui di pantri pejabat, termasuk RM62,500 dalam beg Tahir ketika pejabatnya diserbu pada 4 Okt 2016.

Wang tunai turut ditemui di meja, sofa, kabinet televisyen dan sebuah kabinet kayu dalam pejabat, manakala RM8 juta wang tunai dijumpai di rumah Tahir, bersama 86 utas jam tangan mewah dan 921 barang kemas.

Kira-kira RM9 juta ditemui dalam sebuah Mazda dan RM4 juta dalam Mercedes Benz, katanya kepada mahkamah.

Tahir, 58, sedang dibicarakan bersama isterinya, Fauziah Piut, 55, dan bekas timbalan pengarah JANS, Lim Lam Beng, 66. Mereka mengaku tidak bersalah terhadap 37 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM61.57 juta.

Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim mewakili pihak pendakwaan, manakala Tahir serta Fauziah diwakili Priskila Akwila Sinem dan Fareez Salleh.

Lim diwakili Tan Hock Chuan, Baldev Singh, Karpaljit Singh dan Calvin Wong.

Perbicaraan bersambung 25 Julai ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.