Penganjur festival Aidilfitri mengaku tak salah tipu penyewa tapak

Penganjur festival Aidilfitri mengaku tak salah tipu penyewa tapak

Tertuduh didakwa menipu seorang wanita dalam urusan penyewaan tapak Hoorey X Fest Raya di WTCKL sehingga mendorong mangsa menyerahkan RM1,500.

Muhammad Alif Hakim Jamal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas dakwaan menipu berhubung penganjuran festival beli-belah Hoorey X Fest Raya. (Gambar Pexelpic)
PETALING JAYA:
Seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat penganjur acara dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas dakwaan menipu berhubung penganjuran festival Hooray X Fest Raya, April lalu.

Bagaimanapun, Muhammad Alif Hakim Jamal, 23, mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Marisqa Khalizan.

Mengikut pertuduhan, Alif didakwa menipu Siti Wardina Basir dengan memperdayakan mangsa dalam urusan penyewaan tapak Hooray X Fest di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM1,500.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di WTCKL pada 2.34 pagi 19 April lalu, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum maksimum penjara 10 tahun dan sebat serta denda.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Noraisyah Mohamed Zanyuin menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Zamri Idrus yang mewakili Alif memohon jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya menghidap penyakit buah pinggang dan perlu melakukan dialisis tiga kali seminggu dengan kos mencecah RM1,050.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Marisqa kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Beliau menetapkan sebutan semula kes 27 Julai ini bagi serahan dokumen.

Media sebelum ini melaporkan karnival jualan sempena Aidilfitri itu yang sepatutnya bermula 18 April lalu di WTCKL dibatalkan saat akhir akibat penaja utama menarik diri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.