
Mangsa terbabit termasuk seorang pesara dikenali Che Din, 50, yang mengalami kerugian bernilai RM245,000.
Katanya beliau terpedaya selepas melihat tawaran membina rumah di tanah sendiri yang dipaparkan di laman Facebook milik syarikat yang dimiliki oleh pasangan suami isteri pada sekitar Januari 2022.
Menurutnya, pada awalnya segalanya berjalan lancar dan beliau ditunjukkan rumah contoh disiapkan syarikat berkenaan sebelum menandatangani kontrak serta lawatan ke tapak rumahnya di Muar, Johor.
Bagaimanapun pegawai pemasaran dan pasangan suami isteri yang kononnya ketua pegawai eksekutif dan pengarah urusan syarikat itu mula gagal dihubungi selepas beliau membayar RM15,000 bagi pelan rumah dan RM230,000 sebagai progres pembinaan rumah peringkat pertama.
“Malah sehingga kini, salinan asal kontrak membina rumah juga tidak diserahkan kepada saya. Syarikatnya di Batu Berendam dan Facebooknya juga sudah ditutup namun dipercayai masih bergiat aktif mencari mangsa,” katanya menurut Bernama pada satu sidang media.
Seorang lagi mangsa, Ahmad Fuad, 38, berkata setakat ini terdapat enam lagi individu yang turut ditipu sindiket tersebut dengan kerugian dianggarkan berjumlah RM1.85 juta.
“Saya berjaya mengesan enam mangsa lain ini secara kebetulan yang masing-masing mengalami kerugian antara RM190,000 hingga RM300,000 dan kami percaya ramai lagi yang menjadi mangsa sindiket ini dan beberapa laporan polis telah dibuat,” katanya.
Difahamkan syarikat itu yang beroperasi di Batu Berendam masih aktif mencari mangsa di Facebook.