Hampir 90,000 calon SPM 2022 gagal matematik, 52,000 lagi tak lulus BI

Hampir 90,000 calon SPM 2022 gagal matematik, 52,000 lagi tak lulus BI

Daripada 373,974 calon yang menduduki peperiksaan, kira-kira 24.3% gagal subjek Matematik dan 14.3% tak lulus Bahasa Inggeris.

NGO Untuk Malaysia melaporkan 42.9% calon mendapat sekurang-kurangnya satu gred gagal; bersamaan 160,435 orang daripada 373,974 yang menduduki SPM 2022. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Hampir 90,000 calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) gagal subjek Matematik manakala lebih 52,000 lagi tak lulus Bahasa Inggeris (BI), menurut analisis keputusan SPM 2022 oleh NGO Untuk Malaysia.

Menurut dokumen yang diterbitkan pada Jun itu, seramai 89,752 calon gagal subjek Matematik dan 52,674 tak lulus subjek BI, daripada 373,974 calon yang menduduki peperiksaan; masing-masing bersamaan 24.3% dan 14.3%.

“Analisis ini dilaksanakan berdasarkan dokumen Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2022 terbitan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan siaran langsung pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2022 oleh ketua pengarah pendidikan di Facebook KPM pada 8 Jun,” kata Untuk Malaysia.

Dokumen sama turut melaporkan seramai 113,759 calon memperoleh markah A atau A+ atau A- bagi Matematik dan 91,351 calon untuk BI; masing-masing bersamaan 30.8% dan 24.8%.

Bagi subjek teras lain, Untuk Malaysia melaporkan 27,621 calon gagal subjek Sains (berbanding 56,624 markah A atau A+ atau A-); 23,358 calon gagal subjek Sejarah (94,402), ; 9,642 calon gagal subjek Bahasa Melayu atau BM (118,297); dan 24,304 calon gagal Pendidikan Agama Islam (69,005).

Secara keseluruhan, Untuk Malaysia melaporkan 42.9% calon mendapat sekurang-kurangnya satu gred gagal; bersamaan 160,435 orang.

Terdahulu, Untuk Malaysia dalam Dokumen Keciciran Pendidikan Malaysia yang diterbitkan pada Januari melaporkan kira-kira 140,474 calon gagal mendapatkan sijil SPM kerana tidak lulus subjek BM atau Sejarah, dalam tempoh antara 2019 hingga 2021.

Data tiga tahun itu diambil daripada analisis keputusan SPM yang disediakan LPM.

Bagi SPM 2022, Untuk Malaysia melaporkan 33,906 calon tidak berjaya mendapatkan sijil kerana tidak lulus BM ataupun Sejarah.

Bagi SPM 2021, dilaporkan 45,514 calon tidak layak mendapat sijil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.