Pencemaran sisa buangan industri dikesan di Kempas

Pencemaran sisa buangan industri dikesan di Kempas

Bomba Johor yang melakukan pengesanan dan pensampelan bersama JAS mendapati kawasan parit itu tercemar dengan bahan buangan berjadual.

Pasukan Hazmat dan JAS melakukan pengesanan dan mengambil sampel bersama pegawai JAS susulan pencemaran sisa bahan buangan yang dikesan di Kempas, semalam. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mengesan pencemaran sisa bahan buangan berbahaya dipercayai berpunca daripada sisa industri di Jalan Belati, Kawasan Perindustrian Maju Jaya, Kempas, semalam.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Ridzuan Malek Rivan, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung pencemaran bau di kawasan tersebut pada 1.29 petang.

“Susulan itu 14 anggota dengan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Kempas dan BBP Larkin dihantar ke tempat kejadian.

“Siasatan mendapati berlaku kejadian pencemaran bau di kawasan parit yang bersebelahan sebuah kilang.

“Kita juga maklum terdapat air bertakung dan bau busuk,” katanya dalam kenyataan malam tadi, menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, pihaknya melakukan pemantauan dan telah menghubungi Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor untuk ke lokasi.

Katanya, pasukan Hazmat turut ditugaskan melakukan pengesanan dan mengambil sampel bersama pegawai JAS.

“Hasil siasatan awal mendapati parit itu tercemar dengan bahan buangan berjadual termasuk akrolein, benzena, karbon dioksida, metana dan etilena oksida,” katanya.

Beliau berkata, lokasi insiden kemudian diambil alih oleh JAS kerana susulan kerja-kerja pengesanan, tiada bahan yang sepadan dengan hasil yang dijumpai di peringkat awal.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.