Manjung rekod 52 kes tipu babit kerugian RM2.1 juta

Manjung rekod 52 kes tipu babit kerugian RM2.1 juta

Menurut polis, kes terbaru penipuan menerusi panggilan telefon itu membabitkan seorang warga emas dengan kerugian RM202,787 kelmarin.

Orang awam dinasihatkan agar tidak melayan sebarang panggilan yang meminta maklumat diri terutama akaun peribadi bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan, kata polis.
IPOH:
Daerah Manjung merekodkan sebanyak 52 kes sindiket penipuan telefon sepanjang bulan Januari hingga semalam membabitkan jumlah kerugian RM2.1 juta.

Ketua Polis Manjung, Mohamed Nordin Abdullah, berkata dalam kes terbaharu, pihaknya menerima laporan daripada seorang warga emas melibatkan kerugian RM202,787 kelmarin.

“Wanita berusia 65 tahun yang merupakan pesara operator kilang elektronik itu telah dihubungi oleh seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis.

“Mangsa kemudian dimaklumkan kononnya terbabit dalam kes jenayah yang memerlukan siasatan ke atas akaun beliau sehingga mangsa menyerahkan maklumat akaun kepada individu tidak dikenali itu,” menurutnya dalam kenyataan semalam.

Justeru, beliau menasihati orang awam agar tidak melayan sebarang panggilan yang meminta maklumat diri terutama akaun peribadi.

“Antara langkah yang boleh diambil bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan ialah orang ramai boleh menelefon Pusat Respons Scam Kebangsaan di talian 997 yang ditubuhkan pada Oktober lepas bagi mengekang dan membanteras kegiatan penipuan siber.

“Pihak polis menasihati masyarakat supaya tidak mudah percaya dan mengikut arahan yang diberikan individu tidak dikenali terutama yang tidak pernah berjumpa secara berhadapan,” katanya.

Nordin berkata modus operandi penipuan telefon ialah dengan menyamar sebagai penguat kuasa, pegawai polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, mahkamah, institusi kewangan dan syarikat perkhidmatan penghantaran.

“Secara logik, sebarang urusan dengan agensi kerajaan hanya dilakukan di pejabat dan bukannya melalui telefon untuk menyelesaikan sebarang urusan, jika ada pun hanyalah untuk tujuan janji temu.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, orang awam dinasihat agar tidak melayan panggilan yang tidak dikenali, maklumkan pasangan atau ahli keluarga tentang panggilan, semak dengan institusi kewangan dan balai polis terdekat serta jangan dedahkan maklumat peribadi perbankan kepada mana-mana pihak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.