Demi keselamatan, kekerapan pemeriksaan kenderaan tak boleh dikurang

Demi keselamatan, kekerapan pemeriksaan kenderaan tak boleh dikurang

Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah berkata prosedur dan kekerapan pemeriksaan ditetapkan berpandukan standard diguna pakai di peringkat antarabangsa.

Kekerapan pemeriksaan kenderaan ditetapkan dengan mengambil kira aspek keselamatan komponen terutama melibatkan komponen kritikal keselamatan seperti brek, tayar dan sistem kawalan kenderaan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak boleh sewenang-wenangnya menurunkan kadar kekerapan pemeriksaan kenderaan perdagangan bagi menjamin soal keselamatan pengguna jalan lain.

Timbalan Menterinya, Hasbi Habibollah, berkata semua prosedur, standard dan kekerapan pemeriksaan di bawah kaedah-kaedah kenderaan bermotor, pemeriksaan berkala, kelengkapan kenderaan motor yang telah ditetapkan adalah berpandukan standard diguna pakai di peringkat antarabangsa.

“Kekerapan pemeriksaan kenderaan itu telah ditetapkan dengan mengambil kira aspek keselamatan komponen kenderaan terutamanya melibatkan komponen-komponen kritikal keselamatan seperti brek, tayar dan sistem kawalan kenderaan.

“Adalah dikhuatiri sekiranya tempoh (pemeriksaan) ini dijarakkan, ia akan meningkatkan risiko kegagalan komponen kenderaan berkenaan sekali gus menyebabkan nahas jalan raya teruk, terutamanya melibatkan kenderaan berat seperti lori pasir, lori batu, barangan besi, simen dan bahan-bahan binaan yang lain,” katanya di Dewan Negara.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Rita Sarimah Patrick Insol tentang langkah kerajaan untuk mengurangkan kekerapan pemeriksaan kenderaan komersial dari setahun ke enam bulan tertakluk kepada road-worthiness untuk mengurangkan beban pekebun kecil.

Pada masa sama, beliau berkata pihaknya juga mengambil maklum bahawa ketika ini tiada had umur maksima bagi penggantian kenderaan barangan kerana kenderaan berusia juga turut menyumbang kepada risiko kegagalan komponen-komponen kenderaan terbabit.

“Jadi, perkara ini akan dipantau oleh kerajaan demi menjaga keselamatan pengguna yang lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.