Lebih 211,000 pelajar ‘cicir SPM’ antara 2019 hingga 2021, dedah NGO

Lebih 211,000 pelajar ‘cicir SPM’ antara 2019 hingga 2021, dedah NGO

Antara 2019 hingga 2021, seramai 140,474 calon gagal dapat sijil SPM manakala 71,070 lagi tidak duduki peperiksaan.

Menurut Untuk Malaysia, pada 2021 seramai 70,455 daripada 407,097 calon yang mendaftar SPM tidak layak mendapat sijil atau tidak hadir peperiksaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kira-kira 211,544 calon Sijil Pelajaran Malaysia sama ada gagal mendapatkan sijil atau tidak menduduki peperiksaan dalam tempoh antara 2019 hingga 2021, menurut kajian sebuah NGO, Untuk Malaysia.

Dokumen Keciciran Pendidikan Malaysia yang diterbitkan pada Januari itu mendedahkan dalam tempoh tiga tahun itu kira-kira 140,474 calon gagal mendapatkan sijil, kerana tidak lulus subjek Bahasa Melayu atau Sejarah; manakala 71,070 calon lagi mendaftar tetapi tidak menduduki peperiksaan.

Laporan tersebut tidak memperincikan faktor-faktor yang menyebabkan para pelajar terbabit ‘cicir SPM’, namun menyimpulkan bahawa kanak-kanak keluarga miskin golongan paling terkesan ketika sekolah ditutup selama 42 minggu, ekoran wabak Covid-19.

“Mereka tidak dapat menghadiri kelas dalam talian kerana tidak memiliki laptop ataupun mempunyai akses internet yang stabil sepanjang hari,” menurut Untuk Malaysia.

Perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan dari 18 Mac 2020 sehingga 31 Disember 2021 bagi mengekang penularan wabak, yang mana dalam tempoh itu sistem belajar dari rumah diperkenalkan.

Data tiga tahun

Menurut Untuk Malaysia, pada 2021 seramai 70,455 daripada 407,097 calon yang mendaftar SPM tidak layak mendapat sijil atau tidak hadir peperiksaan.

Daripada jumlah tersebut, 45,514 calon tidak layak mendapat sijil (bersamaan 11.91%) dan 24,941 calon tidak hadir peperiksaan (6.2%).

Pada 2020, seramai 62,446 daripada 401,105 calon, yang mana 43,235 tidak berjaya mendapatkan sijil (11.32%) dan 19,211 tidak hadir (4.79%).

Pada 2019, seramai 78,643 daripada 416,416 calon, yang mana 51,725 tidak berjaya mendapatkan sijil (13.28) dan 26,918 tidak hadir (6.46%).

Data tiga tahun itu diambil daripada analisis keputusan SPM yang disediakan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), badan menyelia peperiksaan utama.

“Berdasarkan trend ‘keciciran SPM’, jumlah murid yang mendaftar tetapi tidak hadir serta yang gagal mendapatkan sijil adalah sekitar 18% atau sekitar 60,000 hingga 80,000 berdasarkan enrolmen murid,” kata Untuk Malaysia.

“Murid yang gagal mendapatkan sijil SPM ini tidak boleh menyambung pengajian mereka ke peringkat seterusnya dan akan menyebabkan mereka hilang potensi untuk mendapatkan pekerjaan dengan upah yang lebih menarik berbanding rakan mereka yang lain.”

Kementerian Pendidikan dan LPM ketika dihubungi meminta FMT mengajukan pertanyaan kepada Unit Komunikasi Korporat KPM dan Sektor Perancangan Data LPM. FMT sedang mendapatkan maklum balas mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.