
Acryl Sani mengesahkan kepada Berita Harian bahawa beliau akan bersara dari pasukan polis pada minggu pertama Julai ini.
“Keputusan ini dibuat disebabkan ada tawaran di luar sana (luar pasukan PDRM) yang perlu saya terima pada masa ini,” katanya.
Timbalannya Razarudin Husain, dijangka mengambil alih tugas beliau sehingga ketua polis negara baharu dilantik.
Acryl Sani dilantik ketua polis negara pada Mei, tiga tahun lalu, menggantikan Abdul Hamid Bador. Pelantikan beliau diumumkan menteri dalam negeri ketika itu Hamzah Zainudin.
Beliau sepatutnya bersara wajib apabila mencecah usia 60 tahun, tetapi ditawarkan kontrak dua tahun bermula 4 Okt 2021 hingga 3 Okt tahun ini.
Acryl Sani pernah mengetuai beberapa jabatan di Bukit Aman termasuk siasatan jenayah komersial, sumber strategik dan teknologi, pencegahan jenayah dan keselamatan komuniti sebelum dilantik sebagai timbalan ketua polis negara pada Ogos 2020.