
Khairul Abdullah, 48, kematian isterinya Marleena Abdul Manaff akibat jangkitan kuman dalam darah, meninggalkannya serta tiga anak lelaki, Khaleef, 9, Khaleel, 8, dan Khaleed yang berusia enam tahun.
Khaleef menghidap penyakit jantung, autisme dan Kecelaruan Hiperaktif Kurang Daya Tumpuan (ADHD) manakala Khaleed pula sejak kecil sering meraung pada waktu malam dan anak bongsunya mempunyai sindrom bisu terpilih.
Bercakap kepada FMT, Khairul berkata beliau berhenti kerja untuk menunaikan permintaan isterinya supaya menjaga sendiri tiga puteranya itu, dengan perbelanjaan ditanggung berbekalkan sedikit simpanan dan bayaran hibah isterinya.

Menurut Khairul, rutinnya berubah sepenuhnya dan beliau sering menghantar anaknya menjalani terapi di pusat rawatan, tetapi pada masa yang sama bakatnya menulis digunakan untuk mencari rezeki sebagai penulis iklan untuk syarikat.
“Cabaran ini (membesarkan) anak istimewa sebenarnya buat saya lebih kuat (mencari rezeki dan jaga anak)…mental kena kuat selain fizikal.
“Pada tahun kedua sebagai bapa tunggal saya pernah dirawat di hospital kerana pengsan, mental saya terlalu tertekan,” katanya yang memberi gelaran ‘superdad’ kepada dirinya untuk menyuntik semangat bagi menjaga anaknya.
Namun pengorbanannya itu mempunyai hikmah tersendiri dan berbalas apabila rezekinya semakin terbentang luas, pendapatannya semakin selesa hasil bayaran khidmat penulisan iklan dan operasi syarikat ejen takafulnya.
Kini, beliau dapat menyediakan kediaman selesa buat keluarganya dan anak-anaknya pula beruntung dapat menjalani rawatan terapi dalam suasana kondusif.

“Saya bersyukur sebenarnya sebab dari tiada pilihan untuk berhenti kerja, saya ada masa untuk bawa anak ke terapi…dapat ilmu yang kemudiannya dikongsi dengan lebih ramai (media sosial),” katanya yang mempunyai 220,000 pengikut di Facebook dan 36,000 pengikut di Instagram.
Beliau juga telah menulis lima buku berjudul Diari Super Daddy, I’m A Backpacker: Europe, Mentaliti Jamban, Mentaliti Masih Jamban dan Untunglah Malaysia Masih Aman. Kesemuanya berkisarkan
kisahnya sebagai bapa tunggal, pengembaraan di luar negara serta kemasyarakatan.
Menyelami sambutan Hari Bapa disambut 18 Jun, Khairul merasakan dirinya beruntung kerana berpeluang melalui pengalaman sebagai bapa tunggal yang mendidik dirinya menjadi lebih sabar, lebih kreatif dan berdaya tahan.
“Kalau dulu tidak jadi, mungkin saya tidak mencapai segalanya sekarang,” katanya.