Sememangnya nama Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan tidak asing lagi dalam industri seni dan hiburan, malah lebih terkenal dengan masakannya yang sungguh enak dan cukup dikagumi semua masyarakat di Malaysia dan antarabangsa.

Jejak langkahnya dalam dunia masakan itu juga menjadikannya idola kepada anak lelakinya sendiri yang kini turut bergelar Chef Riz.
Manakala anak perempuannya juga Serina, juga tidak kurang hebatnya apabila sering dijemput ke program masakan.
Chef Wan ternyata amat mengagumi semangat yang ada pada diri anak-anaknya untuk berusaha pada perkara yang mereka inginkan dan tidak mengharapkan langsung wang ringgit daripadanya.

“Dan saya bangga anak saya mempunyai semangat yang tinggi untuk berusah dalam mendapatkan sesuatu yang mereka inginkan.
“Bukan sebab oh mereka anak Chef Wan jadi mereka perlu sentiasa bergaya, pakai yang mewah-mewah, tidak pun. Saya belikan rantai Chopard bernilai RM26,000 dekat anak saya, tak dipakainya pun. Dia hanya kata, biar dia jadi diri dia sendiri, saya bangga dengan itu,” katanya kepada FMT.

“Pada saya memang saya bangga sebab saya berpisah pun mereka tetap elok, tak mengharapkan saya, berusaha sendiri walaupun saya tetap bagi duit bulanan, tak ada masalah pun dengan mereka, masing-masing pun dah besar, ada kehidupan masing-masing.
“Kiranya saya berpisah pun saya tetap didik anak dengan baik dan mereka jadi orang juga akhirnya,” ujarnya.
Katanya beliau sehingga hari ini masih menjalankan tanggungjawab terhadap bekas isteri serta orang yang berada di sekelilingnya .
“Saya dah lama jadi bapa tunggal ni, walaupun dah bercerai saya tetap beri nafkah kepada bekas isteri, saya tahu nanti bila umur dah tak panjang, saya puas hati saya dah buat itu, saya dah buat ini, saya boleh tutup mata dengan tenang.”

Hala tuju dan kehidupan sesebuah keluarga itu bergantung pada cara si suami atau bapa yang menguruskannya.
“Meskipun gaji isteri lebih tinggi dari suami, namun ia tidak boleh meletakkan harapan pada isteri untuk menyelasaikan banyak perkara kerana ia adalah tugas hakiki sebagai suami dan bapa.
“Malah dalam Islam dan Al-Quran menyebut tentang perkara ini, maka bapa perlu peka dengan semua hal berkaitan nafkah dan didikan anak serta sebagainya.”
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]