Terengganu belum putus tarikh bubar DUN

Terengganu belum putus tarikh bubar DUN

Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar berkata bagaimanapun tarikh tertentu mengenai perkara itu sudah difikirkan namun ia perlu dipersembahkan kepada Sultan Terengganu.

Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya masih ada masa kerana penggal DUN berakhir 30 Jun ini, sebelum ia terbubar secara automatik. (Gambar Facebook)
MARANG:
Tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bagi memberi laluan kepada PRN belum diputuskan, kata Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar.

Bagaimanapun, beliau berkata tarikh tertentu berkenaan perkara itu sudah difikirkan, namun ia perlu dipersembahkan kepada Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dahulu untuk diperkenan baginda.

“Bila untuk saya menghadap Tuanku Sultan pun belum tahu lagi. Saya belum hantar permohonan untuk menghadap Tuanku Sultan berhubung perkara itu.

“Cuma gambaran awal itu sudah ada, biar saya maklumkan kepada Tuanku Sultan dahulu kemudian saya akan umumkan. Kita masih ada masa hingga 30 Jun (terbubar secara automatik),” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran jentera pilihan raya Perikatan Nasional Marang malam tadi.

Selain Terengganu, Kedah dan Selangor juga belum mengumumkan tarikh pembubaran DUN masing-masing, manakala DUN Kelantan dilaporkan akan dibubarkan pada 22 Jun, Pulau Pinang (28 Jun), dan Negeri Sembilan (30 Jun).

Sementara itu, Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin yang turut hadir pada majlis itu berkata Majlis Presiden PN akan bersidang pada 21 Jun bagi menoktahkan perbincangan agihan kerusi parti dalam gabungan tersebut untuk berdepan PRN akan datang.

Beliau berkata ketika ini, hanya berbaki beberapa kerusi lagi yang belum selesai, mengambil kira kesesuaian parti komponen PN untuk bertanding di sesuatu kawasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.