Calon tak hadir SPM, aktivis kesal campur tangan lewat

Calon tak hadir SPM, aktivis kesal campur tangan lewat

Pengerusi Magpie, Mak Chee Kin berkata KPM sepatutnya bertindak berdasarkan angka ketidakhadiran SPM 2021.

Fadhlina Sidek berkata KPM sedang meneliti punca 14,858 calon SPM 2022 tidak hadir menduduki peperiksaan itu pada Februari dan Mac tahun ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang aktivis pendidikan mempersoalkan kenapa Kementerian Pendidikan (KPM) tidak campur tangan lebih awal menyiasat jumlah tinggi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak menghadiri peperiksaan itu.

Mak Chee Kin, pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka berkata, KPM sepatutnya meneliti perkara itu selepas peperiksaan pada 2021 menyaksikan 10,681 calon tidak hadir.

“(Angka tahun ini) memang membimbangkan, tetapi saya hairan kenapa kementerian hanya menyiasat dan memikirkan program intervensi sekarang? Mereka sepatutnya berbuat demikian berdasarkan rekod 2021,” katanya kepada FMT.

Ahad lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, KPM sedang meneliti punca 14,858 calon tidak menghadiri SPM 2022 pada Februari dan Mac tahun ini, sekali gus mencari mekanisme sewajarnya menyelesaikan masalah itu.

Jumlah itu mewakili 3.8% daripada 388,832 calon SPM 2022.

Mak turut mempersoalkan kenapa pegawai Jabatan Pendidikan Negeri yang memantau peperiksaan di seluruh negara tidak melaporkan ketidakhadiran itu sejak awal lagi.

Katanya, intervensi awal akan membolehkan KPM mengumpul maklumat mengenai ketidakhadiran secara langsung daripada calon bagi membantu mengurangkan kejadian sama berulang.

Beliau turut mencadangkan pemansuhan UPSR dan PT3 untuk pelajar Tahun 6 serta Tingkatan 3 mungkin memainkan peranan dalam kadar tinggi ketidakhadiran.

“Penilaian berasaskan sekolah tidak berfungsi dengan baik dan tidak menggambarkan keadaan sebenar psikometrik pelajar,” katanya sambil menambah pelajar mungkin tidak cukup bersedia menduduki peperiksaan utama.

Mak juga percaya daya tarikan peluang ekonomi gig yang tidak memerlukan kelayakan formal mungkin memainkan peranan dalam keputusan pelajar tidak menghadiri peperiksaan itu.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Untuk Pendidikan (Page), Noor Azimah Abdul Rahim, berkata kadar lebih tinggi itu walaupun membimbangkan, tetapi bukan di luar jangkaan kerana kanak-kanak B40 masih terkial-kial dengan kesan Covid-19 seperti kos sara hidup lebih tinggi.

Katanya, belum terlambat memberi lebih banyak perhatian peribadi kepada golongan kanak-kanak itu, termasuk kesejahteraan mental mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.