
Hakikatnya, menurut Exco Agama Islam Selangor Zawawi Mughni, program pemutihan itu disokong oleh Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor yang dianggotai 478 sekolah.
Beliau menambah 416 sekolah sedang menjalani pemutihan dan kerajaan negeri melanjutkan tempoh masa atas permintaan pengusaha, di samping mempermudahkan garis panduan pemutihan.
Zawawi berkata pihaknya maklum usaha pemutihan telah disalah tafsir oleh sesetengah pihak, namun pihak tertentu cuba memburukkan kerajaan negeri.
“Tuduhan ini merupakan tohmahan tidak berasas sesetengah pihak yang cuba memburukkan usaha murni kerajaan Selangor dalam mengangkat kualiti dan taraf sekolah agama persendirian,” katanya dalam kenyataan.
Zawawi berkata pemutihan dibuat mengikut garis panduan yang telah ditambahbaik, dan semua pengusaha dikehendaki mematuhi syarat-syaratnya dalam tempoh yang ditetapkan.
Beliau juga mengingatkan pemutihan ini menyusuli titah Sultan Selangor yang gusar akan peningkatan kejadian malang yang menimpa sekolah agama persendirian, termasuk kes kebakaran.
“Usaha kerajaan Selangor untuk mengangkat martabat sekolah agama persendirian diyakini memberi manfaat kepada pelajar dan ibu bapa,” katanya.
Pada 2017, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan mendedahkan 144 notis bahaya kebakaran dikeluarkan bomba terhadap pusat tahfiz, sekolah pondok, dan rumah anak yatim di seluruh negara.