
Tajuddin Mohd Rasdi dari Universiti UCSI berkata, beliau pernah dijemput untuk menghadiri perayaan oleh orang bukan Islam dan tiada salah mengenai perkara itu.
“Saya pernah dijemput ke sambutan Krismas, kadangkala di hotel dan ada kalanya di gereja,” kata Tajuddin ketika majlis pelancaran buku dan forum di Kelab Taman Perdana Diraja.
“Kita terima semua dan kita jemput semua. Bukannya kita mahu menukar agama, kami tidak berminat untuk menukar agama sesiapa.
“Sepanjang hidup, saya tidak pernah cuba memujuk sesiapa memeluk agama Islam, ia bukan urusan saya untuk menukar agama sesiapa,” katanya.
Beliau berkata demikian menyusuli kerajaan Selangor melarang umat Islam menghadiri program di rumah ibadat agama lain.
Semalam, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Zawawi Mughni, berkata sebarang program membabitkan umat Islam di rumah ibadat agama lain adalah tidak dibenarkan.
Mengenai reaksi negatif diterima filem “Mentega Terbang”, Tajuddin berkata ia berpunca daripada “pemikiran lama” komuniti Melayu.
“Filem ini adalah mengenai mereka yang memikirkan kepercayaan lain, yang sepatutnya menjadi hak dan prerogatif seseorang.
“Saya pernah lakukan itu dan pernah buntu sebelum menemukan apa yang kini dikenali sebagai pergerakan reformis Islam,” katanya.
Menganggapnya sebagai “filem yang bagus”, Tajuddin berkata, ia sepatutnya menerima “semua anugerah” kerana berani mengetengahkan naratif dan persoalan sangat diperlukan negara.
“Mentega Terbang” yang menyentuh perbezaan dan persamaan dalam agama terbesar di Malaysia, mendapat kritikan orang ramai dan juga artis selepas disiarkan di perkhidmatan penstriman Viu pada Januari lalu.
Akibat bantahan beberapa pihak, filem itu diturunkan daripada Viu pada 27 Feb lalu.