Program menarik sempena pelancaran Bulan Kebangsaan

Program menarik sempena pelancaran Bulan Kebangsaan

Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang akan diadakan di Ipoh pada 15 Julai.

Majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 dengan tema Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan di Ipoh akan disempurnakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
KUALA LUMPUR:
Pelbagai program menarik akan disajikan kepada rakyat sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Ipoh, Perak, pada 15 Julai ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), Mastura Ahmad Mustafa, berkata antaranya adalah program 6,600 langkah perpaduan, Jualan Rahmah Perak Sejahtera, pameran oleh pelbagai agensi kerajaan serta saringan kesihatan secara percuma.

Majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 dengan tema Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan di Bulatan Sultan Azlah Shah, Ipoh, akan disempurnakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan dan kesenian serta pertandingan Bintang Patriotik untuk mereka yang ingin menyanyikan lagu patriotik,” katanya semasa menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk “Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” diterbitkan Bernama TV malam tadi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Mohd Salahuddin Mohamed, berkata pihaknya juga mengadakan pelbagai program sepanjang Bulan Kebangsaan seperti Festival Semarak Bahasa dan Sastera bersama Orang Asli, Pertandingan Lagu Puisi berkaitan masyarakat Malaysia Madani dan program Sembang Orang Muda.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai program itu dengan melayari laman sesawang www.merdeka360.my.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.