
Jabatan Perangkaan (DOSM) melaporkan FDI Malaysia mencatatkan aliran masuk bersih lebih tinggi sebanyak RM74.6 bilion, berbanding RM50.4 bilion pada tahun sebelumnya.
Pendapatan pelaburan dilapor menokok, daripada RM100.4 bilion pada 2021 kepada RM104.7 bilion, kesan daripada pendapatan lebih tinggi diperoleh syarikat asing di Malaysia. Pelabur dari AS, Singapura, dan Jepun dilapor memperoleh pendapatan tinggi pada tempoh berkenaan.
Menurut DOSM, kedudukan FDI pada akhir 2022 mencatatkan nilai lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, iaitu RM879.1 bilion berbanding RM782 bilion.
Angka bagi aliran keluar bersih DIA juga dilapor tinggi, sebanyak RM58.6 bilion berbanding RM19.4 bilion tahun lalu.
“Prestasi menggalakkan bagi kedua-dua FDI dan DIA menunjukkan keadaan ekonomi memberangsangkan dalam negara yang menarik syarikat asing untuk terus melabur dan begitu juga, syarikat tempatan untuk terus mengembang dan mempelbagaikan aktiviti perniagaan di luar negara,” menurut laporan itu.
DOSM melaporkan sektor pembuatan penyumbang utama aliran FDI pada 2022, diikuti sektor perkhidmatan dan perlombongan & pengkuarian.
“Pelaburan dalam sektor pembuatan dipacu terutamanya oleh subsektor elektrik, peralatan pengangkutan dan lain-lain pembuatan, sementara sektor perkhidmatan sebahagian besarnya adalah dalam aktiviti kewangan dan insurans/takaful.
“Negara utama aliran FDI adalah AS, Singapura, dan Jepun,” menurut laporan itu.
Sementara itu, sektor perkhidmatan penyumbang utama bagi kedudukan FDI khususnya dalam aktiviti kewangan dan insurans/takaful serta perdagangan borong dan runcit.
“Ini diikuti sektor pembuatan dan elektrik, peralatan pengangkutan dan lain-lain pembuatan sebagai subsektor utama.
“Singapura, AS dan Hong Kong negara pelabur terbesar bagi kedudukan FDI.”