‘Tolong flip-flop isu pengeluaran KWSP bersasar’, Wan Saiful beritahu PM

‘Tolong flip-flop isu pengeluaran KWSP bersasar’, Wan Saiful beritahu PM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam berkata beliau tiada masalah membuat keputusan "flip-flop" jika tindakan itu memanfaatkan rakyat.

Wan Saiful meminta Anwar membantu rakyat dengan membenarkan pengeluaran KWSP bersasar.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang menggesa kerajaan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersasar , susulan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang tiada masalah membuat keputusan “flip-flop” untuk membantu rakyat.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan berkata pendirian terbaharu Anwar di Dewan Rakyat semalam itu harus dizahirkan dengan tindakan membantu rakyat terkesan.

“Jika dah tak mampu nak buat keputusan konsisten, tolonglah flip- flop dalam isu KWSP,” kata wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu pada sidang media di Dewan Rakyat.

“Ubahlah dari tidak membenarkan dan benarkan pengeluaran bersasar agar mereka yang terkesan ini dapat dibantu.”

Anwar sebelum ini berdepan dengan desakan segelintir pihak yang meminta membenarkan satu lagi pusingan pengeluaran bersasar KWSP susulan masih ramai terkesan dengan kos sara hidup dan kesan penularan Covid-19.

Namun beliau kekal dengan pendirian tidak membenarkannya dengan alasan sebagai simpanan selepas bersara.

Bagaimanapun kerajaan membenarkan pencarum menggunakan simpanan dalam Akaun 2 KWSP untuk menyokong permohonan pinjaman peribadi mereka.

Di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob, kerajaan pimpinan mereka membenarkan pengeluaran bersasar KWSP bagi membantu ramai terjejas akibat penyebaran virus Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.