
Hakim Jamil Hussin berkata Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob betul dari segi undang-undang dan fakta apabila mendapati Iskandar King, 45, melakukan kesalahan berkenaan.
“Setelah membaca rekod rayuan dan mendengar hujahan pihak-pihak, sabitan dan hukuman dikekalkan,” katanya.
Pada 14 Oktober 2021, Rozina memerintahkan Iskandar menjalani hukuman penjara enam bulan dan denda RM87,000 kerana rasuah.
Iskandar yang bertugas di bahagian hal ehwal pos dan e-dagang didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Iskandar didakwa menerima rasuah RM50,000 daripada Pengarah Golden Sunrise Ventures Sdn Bhd, Azuzi Kamil yang juga perunding OCK Setia Engineering Sdn Bhd, sebagai habuan memperoleh kontrak USP Time 3 Extension Phase 1 daripada agensi berkenaan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di IOI City Mall, Putrajaya, pada jam 8 malam 9 Januari 2019.
Bagi dua lagi tuduhan, Iskandar didakwa menerima dua cek daripada Azuzi, setiap satu bernilai RM18,500 untuk dibayar kepadanya dan isteri, Nur Ellina Abdul Sukor, di Bukit Jalil Golf and Country Resort, pada jam 5 petang 23 Jun 2015.
Rozina memerintahkan Iskandar dipenjara enam bulan dan denda RM50,000 bagi tuduhan pertama, manakala bagi dua tuduhan lagi dia dipenjara tiga bulan dan denda RM18,500. Semua hukuman diarahkan berjalan serentak.
Iskandar dibenarkan jaminan RM30,000 sehingga rayuannya diselesaikan. Susulan itu, peguamnya R Sivahnanthan memberitahu FMT anak guamnya memulakan hukuman penjara hari ini.