
Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud berkata dapatan itu berdasarkan kajian oleh Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) mengenai tenaga kerja pesara melibatkan 584 syarikat pada 2019, yang turut mendapati golongan itu enggan bersara kerana beranggapan sukar untuk mendapatkan pekerjaan baharu apabila bersara.
“Daripada 584 majikan itu, 331 atau 56.7% sedang mengambil pekerja warga emas manakala 253 atau 43.3% tidak mengambil pekerja warga emas.
“Sejajar dengan itu, KSM melalui TalentCorp pada September 2021 menganjurkan bengkel pengambilan warga emas untuk bekerja semula,” katanya ketika menggulung usul Laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat.
Katanya, susulan bengkel tersebut, kementeriannya merangka inisiatif untuk menyokong penyepaduan semula warga emas atau pesara untuk kembali bekerja dengan mengadakan sesi libat urus bersama majikan.
Mustapha berkata berdasarkan statistik Sistem Insurans Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dari Januari hingga 2 Jun 2023, jumlah penempatan pekerjaan bagi warga emas yang kembali bekerja adalah seramai 54 orang.
Mengenai perlindungan sosial khusus untuk pekerja sektor tidak formal termasuk pekerja gig, beliau berkata seramai 449,618 orang berdaftar dan aktif mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) mulai Januari 2020 sehingga 4 Jun 2023.
“Daripada jumlah tersebut, sehingga 13 Jun 2023, seramai 133,150 daripadanya berdaftar dan mencarum di bawah Skim Pekerjaan Sendiri Gig (SPS Gig) melalui Dana Padanan Caruman Perlindungan Sosial atau SPS Padanan Caruman.
“SPS Padanan Caruman merupakan insentif pembiayaan padanan caruman yang mana Orang Bekerja Sendiri hanya perlu membayar sebanyak 20% iaitu sebanyak RM46.60 sahaja daripada kadar caruman RM232.80 manakala baki bayaran caruman 80% iaitu RM186.20 dibiayai kerajaan,” katanya.
Katanya di bawah Belanjawan 2023, kerajaan turut memperluaskan program bantuan padanan untuk tiga lagi sektor baharu iaitu sukan, pendidikan dan ejen.