
Kesimpulan daripada temubual eksklusif bersama Jalaluddin Alias baru-baru ini adalah Umno harus menarik penglibatan pemuda-pemudi yang kritis dengan wawasan, dan bukan sekadar bergantung kepada populariti tokoh.
Katanya, Umno perlu meletakkan wawasan yang mampu menarik anak muda, jika mahu perjuangan parti itu diwarisi.
“Ke arah mana kita nak bawa Negeri Sembilan?” katanya, selepas segera menyimpulkan perbualan mengenai impak pemergian Khairy kepada Umno Negeri Sembilan.
“Anak muda sekarang mempunyai pemikiran yang begitu kritis. Pemikiran yang mendapat pendedahan seluas-luasnya melalui teknologi. Mereka boleh berfikir dengan matang. Kalau ini (wawasan) dibentangkan di hadapan mereka, saya yakin mereka akan buat pilihan tepat.”
Bagi Jalaluddin, wawasan itu harus inklusif. Tegasnya, Umno harus fikir ke arah mana ia mahu membawa golongan muda dan tua, lelaki dan perempuan, dan semua kaum.
“Kita kena ingat anak muda sekarang bukan berfikiran satu hala sahaja,” katanya.
Mengenai Khairy, Jalaluddin berkata pemergian bekas ketua Pemuda itu tentu ada kesan “sedikit sebanyak”.
“Kita harus ingat kejayaan tokoh-tokoh tertentu bukan atas kemampuan peribadi. Itu atas kemampuan parti yang mereka ikuti.
“Anak-anak muda juga ada ikon-ikon lain yang menjadi ikutan mereka, namun yang penting bagi saya sekarang visi dan misi parti.”